Takdir yang tertulis



Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman.  Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan.  Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan.  Hati mana tidak berbunga harapan.
Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan.  Namun, tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian.  Dicantas tegahan dan mundur segala keriangan.
Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan, kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan.  Namun, kita harus percaya pada takdir dan ketentuan.  Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita, barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang maha Agung telah mengaturkan semuanya.
Takdirku Telah Tertulis. Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita,  berbekal usaha yang sedikit cuma, sudah mampu diraih dengan mudah.  Namun, jika sesuatu itu bukanlah ditakdirkan menjadi milik kita, perancangan paling mega yang kita cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Ilahi, sudah pasti kita tidak akan bisa memilikinya.
Segala yang ada di dunia ini adalah hak Allah.  kerajaanNya luas meliputi alam raya, angkasa dan segala-galanya adalah milik Allah.  Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita, itulah rezeki kita jua dariNya.  Bersyukurlah.  Jangan di tangisi apa yang bukan menjadi milik kita.  Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang lain. Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita.
Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian.  Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya.  Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari suram.  Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap godaan.  Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita.  Begitu jua lah sebaliknya.
“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”
Sapulah air mata yang terbit dari rasa kecewa.  Kau terluka dan merana, tentunya Dia mengetahuinya.  Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan reda.  Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya.  Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya.
InshaAllah…yakini bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan insan. 
#aku hanya penghibur

No rain No rainbow


Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada. Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.

Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan. Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.

Pernahkah sekali kita memahami alam?

Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang?
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?

Jawapannya senang sahaja…

Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya, Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicauan burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan.
p/s : belajar dari alam 

Just a new beginning and Smileee ^_^

"
Setiap orang,
Akan ada sesuatu yang dia simpan.
Akan ada sesetengah perkara yang dia sembunyikan.
Dan ada sesetengah perkara yang ingin dia kongsikan.
Siapa pun dia,
Segembira mana pun dia.
Walau sekerap mana kamu melihat dia tersenyum,
Pasti ada perkara-perkara yang pernah membuat dia terluka.
Pasti ada sesuatu yang pernah menguris hatinya,
Pasti ada sesuatu yang pernah membuat dia menangis.
Pasti ada.
Kerana dia juga manusia.
Makanya,
Bila kamu menyangka bahawa hanya kamu yang merasa,
Hanya kamu yang melalui,
Dan hanya kamu yang mengerti,
Kamu silap, dan kamu salah.
Ada orang lain yang pernah melaluinya,
Bahkan ada orang lain yang pernah merasakan lebih dari apa yang kamu rasakan.
Ada orang lain yang pernah melalui lebih teruk dari apa yang pernah kamu lalui.
Ada.
Cuma, mungkin kamu yang tak pernah tahu,
Kamu yang tak pernah nampak.
Jangan selalu menganggap,
Bahawa kamulah yang paling susah,
paling sakit diuji,
Paling berat diduga.
Ada.
Ada insan lain, yang lebih besar ujiannya, yang lebih berat penderitaannya.
Sudahlah, kesat air matamu,
Walau serumit mana situasi kamu.
Pujuk hatimu.
Yakinlah DIA ada, dan akan selalu ada.
Bila kamu menyandar harapan padaNYA, DIA tak akan sekali-sekali mempersia harapan kamu.
Bila kamu mempercayai segala takdir dan ketentuanNYA,
DIA tak akan sekali-sekali mengkhianati kepercayaan kamu.
"

keep smile dear ^_^